Seorang ketua cawangan Umno mengalami kecederaan parah pada bahagian muka selepas disimbah asid oleh seorang lelaki di perkarangan rumahnya di Kampung Chekok, dekat Kota Bharu awal pagi tadi.
Ketua cawangan Limau Manis, Datuk Azaha Abdul Rani disimbah asid oleh lelaki yang tidak dikenali kira-kira pukul 2.30 pagi semasa tiba di rumahnya sebaik sahaja selesai mempengerusikan mesyuarat Umno cawangan itu.
"Semasa beliau hendak menutup pintu pagar rumahnya, seorang lelaki tiba-tiba muncul dan terus menyimbah asid mengenai muka serta sebelah kiri badannya," kata Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC II Amir Hamzah Ibrahim kepada Bernama.
Menyedari kejadian itu isteri mangsa Marina Najib, yang ketika itu baru masuk ke dalam rumah, segera menghubungi polis.
Polis yang tiba sejurus kemudian terus menghantar beliau ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan.
Polis berkata keadaan Azaha agak parah akibat mengalami lecur di muka dan badan, namun beliau dalam keadaan stabil, lapor agensi berita itu lagi.
Beliau berkata polis sedang menyiasat motif serangan, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites