|
Jawatankuasa pemantau pemilihan Umno bahagian Kangar akan bermesyuarat untuk menentukan status mesyuarat cawangan Taman Gasing yang diadakan tanpa pengetahuan ketuanya.
Setiausaha kerja Umno bahagian, Abd Wahab Abd Majid berkata, jika ia didapati tidak sah, mesyuarat baru akan diadakan yang akan dikendalikan sendiri oleh pihak bahagian.
Mesyuarat Umno cawangan Taman Gasing diadakan Ahad lalu tanpa pengetahuan ketuanya, Che Rus Saad dan dilapor diadakan atas arahan bekas setiausaha cawangan tersebut.
Mengulas lanjut mengenainya, Abd Wahab berkata, pihaknya telah menerima surat dari Che Rus dua hari lalu, yang memaklumkan mengenai perkara tersebut.
Dalam surat tersebut, Che Rus berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai tarikh mesyuarat cawangannya yang diadakan tanpa kehadirannya.
Dalam mesyuarat tersebut, seorang pemimpin tempatan dan bekas pengerusi tetap Umno cawangan itu, Wan Din Mat dipilih sebagai ketua cawangan.
Buat aduan
Dalam surat tersebut, Che Rus juga mendakwa notis mengadakan mesyuarat tersebut dikeluarkan oleh bekas setiausaha cawangan, Azizah Salleh yang telah ditamatkan perkhidmatannya sebelum ini.
Abd Wahab berkata, kira-kira 10 hari lepas, Che Rus ada datang ke pejabat bahagian untuk mendapatkan maklumat dan butir-butir untuk mengadakan mesyuarat cawangan.
"Tiba-tiba, mesyuarat diadakan Ahad lalu," kata Abd Wahab ketika dihubungi Malaysiakini untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.
Katanya, jawatankuasa pemantau itu akan bermesyuarat minggu depan untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Sementara itu, Che Rus dilaporkan berkata semasa mesyuarat berlangsung beliau berada di Perlis dan sedang memikirkan tarikh sesuai untuk cawangan itu mengadakan mesyuarat agung, selepas ia ditangguhkan bagi menghadapi pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Beliau juga dilaporkan telah membuat laporan kepada ketua Umno bahagian Kangar, Ahmad Bakri Ali dan juga kepada Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sena, Abdul Jamil Saad. |