Tindakan Malaysia berunding dengan Singapura dalam pengurusan perairan sekitar pulau Batu Puteh sebagai "pencabulan serius hak perlembagaan bagi negeri Johor", kata seorang pemimpin veteran Umno.
Tengku Razaleigh Hamzah juga menyifatkan kerajaan tidak wajar menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam isu tuntutan bertindih dengan Singapura tanpa merujuk negeri di selatan tanah air itu.
Dalam suratnya kepada menteri luar Datuk Seri Dr Rais Yatim, ahli parlimen Gua Musang berkata prosiding di ICJ "tidak lengkap" kerana kerajaan Johor tidak dilibatkan dalam perbicaraan tersebut.
"Mungkin saya harus tegaskan bahawa Malaysia adalah persekutuan negeri-negeri berdaulat dan Johor mempunyai kuasa terhadap wilayahnya dalam perkara-perkara tertentu, termasuk kawasan perairan yang dikuasainya. Kepentingan ini sangatlah besar," kata Tengku Razaleigh dalam suratnya yang dikirim semalam.
"Johor berhak menjadi satu pihak dalam prosiding (di ICJ) ini dan boleh menuntut pindaan tertentu yang perlu, khususnya dalam hubungan dengan kedaulatan perairan sekitar Batu Puteh, yang sentiasa berada bawah kuasa Johor dan tidak pernah diserahkan kepada kerajaan Inggeris ataupun Singapura."
Bekas menteri kewangan itu menambah, suratnya kepada Dr Rais itu sebagai menyatakan kekecewaannya berhubung keputusan terbaru kerajaan Malaysia dengan republik itu kelmarin.
"Saya berharap kerajaan akan berhenti mengeluarkan kenyataan lanjut atau terlibat dalam perbincangan teknikal dengan Singapura dalam hal ini," katanya dalam surat itu yang diperolehi Malaysiakini hari ini.
""Perkara-perkara ini melibatkan isu kedaulatan yang serius dan akan membawa kesan besar jika tindakan sekarang berlanjutan."
Persetujuan dua negara itu dikeluarkan bersama antara Menteri Luar Singapura George Yeo dan Dr Rais.
Dalam kenyataan tersebut, kedua-dua negara mengulangi komitmen masing-masing untuk mematuhi keputusan ICJ berkaitan Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan.
Kedua-dua negara juga bersetuju melaksanakan sepenuhnya keputusan mahkamah itu dengan meneruskan perbincangan sebagai susulan kepada mesyuarat pusingan pertama Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) di sini pada 3 Jun lalu.
Nelayan Malaysia pula dibenarkan meneruskan kegiatan penangkapan ikan secara tradisional di kawasan perairan melebihi 0.5 batu nautika di Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan.
Menurut kenyataan itu lagi, Singapura dan Malaysia menegaskan komitmen masing-masing berhubung perkara berkenaan semasa pegawai kanan dua negara bermesyuarat di Putrajaya pada 20 Ogos lalu bagi membincangkan lebih lanjut pelaksanaan keputusan ICJ berkaitan tiga bentukan marin di Selat Singapura itu.
Kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa kegiatan penangkapan ikan secara tradisional oleh nelayan Malaysia dan Singapura boleh diteruskan di kawasan perairan melebihi 0.5 batu nautika dari Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan.
Singapura mencetuskan kekecohan baru-baru ini apabila mengumumkan akan menuntut wilayah laut dan zon ekonomi eksklusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh.
Menteri Negara Kanan republik itu Balaji Sadasivan berkata Singapura memiliki sempadan wilayah laut yang mengunjur hingga 12 batu nautika dan wilayah EEZ mengikut peruntukan Konvensyen Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 10 Disember 1982.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites