Kerajaan berniat baik -- bantuan untuk murid cacat yang mengalami masalah pembelajaran dinaikkan 300 peratus kepada RM150 sebulan seperti diumumkan dalam Bajet 2009 minggu lalu.
Namun sejumlah peruntukan itu bukan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU), sebaliknya dimanfaatkan oleh murid bukan OKU akibat kecuaian Kementerian Pelajaran, kata Persatuan Pendidik Pendidikan Khas (PPPK).
"Lebih separuh pelajar yang dikelaskan sebagai lembam sebenarnya merupakan pelajar pemulihan," kata presiden persatuan itu Sazali Abdul Hamid.
Mengulas perbezaan dua kategori pelajar ini, Sazali berkata:
"Pelajar lembam ini, kalau mengira 1 sehingga 5 pun (mereka) tidak boleh ingat. Pelajar pemulihan pula bukan OKU.
"Mereka cuma tidak dapat menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira)."
Tambahnya, masalah ini berpunca akibat "salah penempatan" murid-murid pemulihan yang dikategorikan sebagai pelajar OKU yang lembam gara-gara sistem penilaian pelajar yang lemah, antaranya pengesahan perubatan dilakukan oleh doktor bukan pakar.
"Sepatutnya pengesahan itu dilakukan oleh doktor pakar," kata Sazali kepada Malaysiakini hari ini.
Sementara tempoh percubaan selama tiga bulan gagal membezakan sama ada mereka yang lambat menguasai pelajaran asas sepatutnya ke kelas pemulihan (aliran perdana) atau kelas murid lembam (aliran khas).
Sazali menambah, tiada semakan dibuat oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dalam tempoh tersebut.
"Kesannya (tanpa semakan), mereka akan terus berada dalam aliran khas sehingga tamat belajar. Selepas itu, mereka akan terus menikmati kemudahan sebagai OKU sehingga seumur hayat," katanya.
"Kalau bekerja dapat RM300, kalau tidak bekerja dapat RM150. Kerajaan akan rugi wang berjuta-juta ringgit untuk sepanjang hayat mereka."
Golongan pelajar ini, menurut Sazali, tentunya tidak mahu kembali berpindah ke aliran perdana kerana pelajar aliran itu tidak mendapat imbuhan wang seperti pelajar OKU.
PPPK bagaimanapun, tambahnya, mengalu-alukan keputusan kerajaan menambah elaun untuk murid OKU tetapi berharap kerajaan mengkaji semula masalah dalam pelaksanaannya.
Dalam kategori lain murid OKU seperti mengalami masalah pendengaran dan penglihatan, "salah penempatan" tidak berlaku, katanya.
"Pelajar pekak dan buta, mereka ini sudah sah (cacat)," katanya.
Pelajar lembam tergolong dalam satu kategori murid OKU yang mengalami masalah pembelajaran seperti hiperaktif, autisme dan sindrom down (sederhana).
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan elaun murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah daripada RM50 kepada RM150.
Beliau, yang juga menteri kewangan I, mengumumkan insentif RM200 sebulan untuk pembantu guru di sekolah aliran khas.
PPPK bagaimanapun berharap kerajaan memberikan latihan khas kepada pembantu-pembantu guru itu kerana mereka didakwa kurang berkesan menjalankan tugas akibat tiada kemahiran memahami kehendak sebenar murid OKU.
Dalam Bajet 2009, kerajaan juga menyediakan elaun bulanan RM300 kepada seorang OKU bagi menggalakkan mereka bekerja, sementara RM150 bagi mereka yang tidak berupaya berbuat demikian.
No. 48, Jalan Kemuja, Bangsar Utama 59000 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 03-2284 3367 (Advertising/Tech/Subscription) | 03-2283 5567 (Editorial) Malaysiakini.com is not responsible for the content of external internet sites